Ahlan Wasahlan...

Dunia ini kita singgah sebentar untuk meneruskan perjalanan ke tempat yang abadi

Ahad, 8 Januari 2012

6 Bulan Penyusuan Eksklusif

Alhamdulillah, untuk tempoh penyusuan penuh 6 bulan berjaya diharungi. Matlamat saya kini ialah untuk 6 bulan ke hadapan, maksudnya sehingga Muhammad berumur 1 tahun. Enggan untuk menyasarkan tempoh penyusuan sehingga 2 tahun takut tidak mencapai matlamat tersebut kerana apa-apa sahaja boleh berlaku untuk tempoh tersebut. Harap-harapnya air susu masih boleh diberikan kepada Muhammad sehingga tempoh yang diangankan.

Macam-macam cara yang saya untuk menambah air susu. Malah bukan setakat menambah kuantitinya sahaja sebaliknya dari segi kualiti. Setakat ke hari ini saya tiada langsung stok untuk kegunaan jangka masa panjang, sebaliknya yang ada cumalah untuk jangka masa semasa sahaja. Sementelah saya bertugas sebagai seorang guru, kebarangkalian untuk bertugas di luar adalah sedikit.

Saya sehingga kini masih mengambil ubat tambah darah (pil berwarna coklat) yang kerap dibekalkan oleh klinik semasa pemeriksaan antenatal dahulu. Saya memakannya pada waktu pagi sebelum memakan makanan lain bersama-sama vit c dan b kompleks. Pada pukul 8 pagi pula saya akan minum horlicks dan makan nasi di sekolah pada pukul 9.30 pagi. Saya makan awal kerana waktu rehat saya di sekolah tertakluk pada masa tersebut.

Ada ketikanya saya akan mengambil pati ikan haruan pada awal pagi dan saya hanya akan memakan satu set vitamin pada waktu malam sebelum tidur. Dan adakalanya juga suami saya akan mengukus keledek untuk saya, tetapi ini juga jarang-jarang dilakukan, tertakluk pada hujung minggu dan hari-hari kelepasan. Hasilnya, air susu memang banyak. Adakalanya juga saya akan mengambil satu sudu makan madu (Manuka Honey UMF10) pada awal pagi bersama air suam. Alhamdulillah...

Baru-baru ini, saya ada terbaca artikel tentang breastmilk booster iaitu Habbatus Sawda (HS),dan ia juga diperakui oleh suami saya. Kebetulan di rumah kami masih ada lagi saki baki Habbatus Sawda yang tidak dihabiskan suami sebagai snek. Jika diikutkan suami akan mengunyah sedikit HS untuk faedah2 kesihatan. Lalu dihasilkannya ramuan Breastmilk Booster untuk saya dengan mencampurkan serbuk HS bersama-sama Susu tepung (susu kambing), hasilnya juga sangat memberangsangkan.

Tapi saya sehingga kini masih tak jumpa ramuan untuk menambah berat badan. Walaupun makan daging hari-hari (atau dengan bahasa lain makan seperti memelihara hantu raya), berat badan saya semakin menyusut, sehingga kini berat badan saya adalah 45kg berbanding 54kg sewaktu selepas melahirkan. Saya dah kurus kering... tapi enggan mengungkit kerana sudah adat menyusukan anak.