Ahlan Wasahlan...

Dunia ini kita singgah sebentar untuk meneruskan perjalanan ke tempat yang abadi

Jumaat, 6 Ogos 2010

Impian Seorang Nelayan



Burung Camar hinggap di jejari
Seorang nelayan sedang bermimpi
Mimpi tentang duyung
Mimpi tentang untung
Biduk hanyut dibawa ombak
Laut Cina Selatan

Dalam mimpi berkata sang duyung
"Wahai nelayan kau anak laut
Di sini tempatmu
Di sini rezekimu
Pengorbanan yang kau lakukan
Ada balasannya"

Mega mendong
Laut pun bergoncang
Nelayan tersentak biduk sesat haluan
Sang mentari terlindung
Pantai tak kelihatan
Tawakkal jalan akhirnya

Dalam pondok kecil beratap rumbia
Seorang ibu memandang hari muka
Sambil ia menyusukan bayi yang kehausan
Ufuk timur hilang dari pandangan

Wahai anak yang sedang menangis
Mungkin kini engkau tak mengerti
Bila kau dewasa dan pandai nanti
Pengorbanan ayahmu sayang
Jangan kau lupakan

21 PEDOMAN BUAT WANITA

1. Terima Lelaki agar Dia Menerima Anda.

Mungkin tiada perkataan yang lebih sesuai untuk menyatakan ini selain dari 'Terimalah lelaki sebagai sediakala". Terima dia sebagai lelaki. Yang penting untuk anda mengetahui ialah mengenai lelaki, bukan mengubah lelaki. Jika anda mahu mengubah personaliti lelaki yang menjadi kekasih anda atau suami anda, dia mungkin akan menjadi insan yang lain, yang mungkin tidak anda sukai, dan tidak menyukai anda.

2. Fahamilah Lelaki Agar Dia Memahami Anda

Cuba memahami perangai sedia ada pada seorang lelaki dan menyesuaikan perangai itu dengan diri anda, adalah lebih baik dari cuba mengubahnya dan beranggapan bahawa ianya tidak sesuai dengan anda. Asalkan perangai itu tidak bertentangan dengan kehendak agama dan kesopanan budaya. Dengan cara itu lelaki akan cuba memahami anda dan menyesuaikan dirinya dengan diri anda.

3. Berubah Untuk Menikmati Perubahan

Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian. Kerana insan itu sendirilah yang akan mengubah perangainya jika dia mahu. Anda cuma boleh memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlulah
sanggup berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan seseorang lelaki berubah memperbaiki dirinya.

4. Sanggup Memberi Untuk Menerima

Di atas segala-galanya, apa yang penting untuk anda lakukan ialah sanggup memberi lebih banyak dari yang anda sanggup terima dari seorang lelaki. Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak dari yang sanggup anda beri.

5. Percaya Untuk Dipercayai

Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, janganlah anda harapkan lelaki itu percaya kepada anda. Hidup ini meminta pada yang ada, merajuk pada yang sayang. Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah perkara mudah, bagi menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda bukanlah payah. Apabila dia sudah tidak percayakan anda, amat sukar pula untuk dia mengubah pendiriannya.

6. Menangkan Lelaki Untuk Menang

Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki., kerana dalam kehidupan suami isteri, sepatutnya sama-sama menang dalam semua aspek kehidupan. Dalam satu perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami, kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulakan dan meyuarakan.
Kuasa isteri adalah sama ada bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, maka rumahtangga akan menjadi porak-peranda. dari itu rujuklah kepada agama untuk menghalusi apakah yang boleh dilakukan dan apakah yang dilarang.

7. Sifat Negatif Membuahkan Kesan Negatif

Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap suaminya. Ramai juga yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah-rendahkan suaminya, membandingkan suaminya dengan lelaki lain, dan memaki hamun suaminya. Sekiranya anda bersifat sedemikian, walaubagaimana kenalpun
anda kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. Andalah yang mungkin menjadi sebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak selesa, banyak berdiam diri, selalu masam muka dan sebagainya lagi yang tidak menyenangkan diri anda. Andalah yang patut berubah.

8. Bertanggungjawab Akan Menikmati Kesan Tanggungjawab

Sebenarnya tanggungjawab wanita terhadap suaminya tidak akan berubah walaupun dunia ini menjadi semakin maju. Begitulah juga tanggungjawab suami kepada isterinya. Selagi anda menjalankan tanggungjawab anda dengan sempurna sebagaimana yang digariskan olah agama, anda tidak perlu
risau apa pun. Allah akan menempatkan anda dipihak yang benar, dan anda tidak akan rugi apa-apa.

9. Kritikan Akan Membuahkan Kritikan

Kritikan merbahaya kerana ia menjadikan lelaki itu defensif dan sedaya upaya ingin mempertahankan dirinya. Ia bahaya kerana melukakan nilai diri lelaki., menjejaskan rasa kepentingan dirinya, dan menyebabkan dia rasa kecewa kepada anda dan mungkin akan mengkritik anda pula.

10. Beri Lelaki Apa Yang Dia Mahu

Dia akan melakukan apa sahaja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu. Ada dua perkara besar yang dimahukan oelh manusia iaitu (1) Kehendak Seks dan (2) Kehendak untuk menjadi penting. Setiap orang dewasa mahukan kesihatan, makan, tidur, wang, kepuasan seks, anak-anak yang terjaga, rasa dipentingkan dan hidup yang bahagia dunia akhirat. Berilah lelaki apa yang dia mahu dan apa yang boleh anda berikan

11. Tunjukkan Minat Tulen Terhadap Lelaki

Dia akan menunjukkan minat terhadap anda. Dengar apa yang ingin dikatakannya, walaupun ianya tentang dirinya sendiri atau mengenai kerjanya, ataupun kesukaannya. Lebih berminat anda padanya, maka lebih berminatlah dia kepada anda.

12. Senyuman Itu Tanda Kasih Yang Tidak Perlu Dibayar

Anda tidak perlu membayar apa-apa utnuk senyum pada lelaki yang anda kasihi. Dia akan senyum kembali pada anda. Betapa nikmatnya senyuman yang dilemparkan kepada anda itu, begitu jugalah nikmat yang dirasanya apabila anda senyum padanya. Senyuman menyebabkan lelaki suka pada anda.

13. Panggilah Lelaki Dengan Panggilan Manja

Sebagaimana anda mahukan lelaki memanggil anda dengan nama yang baik dan nada yang lembut, begitulah pula lelaki. Dia mahukan anda memanggilnya dengan lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifat anda sebagai wanita.

14. Hormati Dia Sebagai Lelaki

Dia akan menghormati anda sebagai wanita. Jika anda berusaha untuk memahami sikapnya dan bertolak-ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama terhadap anda. Wanita patut menghormati lelaki yang menjadi suaminya, dan memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri sendiri, malah menjadikan diri lebih terhormat.

15. Dengarlah Dengan Baik

Antara masalah besar dalam rumahtangga ialah apabila masing-masing suami isteri tidak mahu berbincang secara terbuka. Dengarlah dengan baik apa yang diperkatakan oleh lelaki, nescaya dia akan mendengar pula apa yang ingin anda katakan.

16. Bercakaplah Tentang Apa Yang Disukai Lelaki

Lelaki tidak suka mendengar celoteh wanita, mengenai hal-hal remeh-temeh yang biasanya diceritakan oleh wanita kepada wanita. Lebih baik bercakap perkara yang menjadi kesukaannya dan berkaitan dengan minat anda untuk membantu kerjayanya atau membantu mempertingkatkan ekonomi rumahtangga.

17. Katakanlah Bahawa Dia Penting Dalam Hidup Anda

Dia akan menganggap anda penting dalam hidupnya. Antara kesilapan wanita ialah suka merendah-rendahkan suaminya, atau menganggap bahawa sekiranya perceraian berlaku, ramai lelaki yang lebih baik seikapnya dan sifatnya yang sanggup menjadi suami. Mungkin begitu jugalah suami anda berfikir mengenai anda.

18. Jangan Katakan Penyesalan Mengahwininya

Apabila anda menyatakan penyesalan mengahwini suami, suami anda akan menyesal mengahwini anda, walaupun dia tidak menyatakannya. Menyatakan penyesalan berkahwin menunjukkan pendeknya akal anda dan lemahnya anda dalam menghadapi dugaan hidup. Sepatutnya anda berusaha untuk merasa gembira mengahwini suami anda.

19. Elakkan Pergaduhan

Ada wanita yang menunggu-nunggu saat suaminya menegurnya atau menasihatkannya, kerana dia sudah sedia dengan peluru-peluru tohmah dan kejian serta airmatanya. Untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berkaitan rumahtangga, elakkan pergaduhan, dan janganlah anda pula yang memulakannya.

20. Jangan Menyalahkan, Minta Maaf Bila Bersalah

Sekiranya anda sukar meminta maaf atas kesalahan anda, dan sebaliknya amat suka mencari kesalahan lelaki, dia akan menganggap bahawa anda adalah seorang yang keras kepala dan keras hati, sukar dibentuk. Lebih buruk lagi dia mungkin merasa bahawa dia telah gagal membentuk diri anda sebagai isterinya, dan mungkin bersebab dari itu, dia cuba mencari jalan keluar.

21. Hidup Bukan Hanya Di Dunia

Banyak masalah timbul kerana manusia biasanya bertindak dengan akal yang sempit dan tindakannya berbentuk keduniaan. Kejayaan anda di akhirat adalah bergantung kepada betapa baiknya anda kepada suami anda dan betapa bereskah tanggungjawab anda terhadapnya.

Ahad, 1 Ogos 2010

Suiz Yang Digemari Ibu

Terpanggil untuk menulis tentang subtopik daripada buku Dr. Shukri Abdullah; Anakku Bijak Belajar. Dalam Sentuhan Ibu Bapa ke 9, Bijak Berkomunikasi Dengan Anak.

Ibu bapa ada banyak "suiz" untuk mendidik anak. Ibarat kita hadir di tempat yang asing bagi kita. Kala kepanasan dan tercari-cari suiz kipas yang betul kita pasti menekan suiz yang salah. Tapi berbeza apabila kita arif dengan tempat tersebut, pantas sahaja tangan kita menekan suiz yang dikehendaki.

Dengan anak-anak, suiz yang perlu dipilih ialah suiz:

NASIHAT
TEGURAN
LETERAN
MARAH
SINDIRAN
PUJUKAN
RAYUAN
TANGISAN
HUKUMAN
DAN GANJARAN....

Namun lucu apabila mengenangkan kebanyakan ibu gemar menggunakan suiz leteran, sekalipun suiz tersebut tidak berupaya untuk memberikan cahaya yang gemerlap pada lampu yang ingin kita buka. Fuhhh, yang saya maksudkan adalah diri saya sendiri.

Sabtu, 31 Julai 2010

Dunia Eksperimen Abdullah Naseih


Tuhan saja yang tahu selama kurang lebih 2 bulan aku dan suami dirundung resah gelisah mengenangkan si Abdullah yang tidak tahu apa punca dan jenis penyakit yang sedang dihadapi, tiba-tiba sahaja hidungnya disebelah kiri berair dan mengeluarkan bau yang CUKUP TIDAK MENYENANGKAN. Aku memang mengalah (angkat bendera putih), tapi angkat bendera putih sekalipun aku masih tegar menghidu saban hari, saban waktu, dan setiap ketika selama 2 bulan. Aku akui Abdullah sangat manja dengan aku berbanding yang lain. Tak ada waktu yang tidak baginya untuk aku penuhi segala kehendaknya, sekalipun sudah kami suami isteri sediakan pembantu rumah buat anak-anak, namun aku juga yang dicari untuk mempersiapkan dirinya. Dalam pada ingin menjauh, Abdullah mendekat (kejamnya aku selaku ibu).

Namun, suamiku tidak putus harap. Ilham Tuhan minta dibelikan madu. Tidak mengapa puteraku.... madu UMF10++ dicari dan alhamdulillah ketemu jua di balik gahnya bangunan Pusat Bandar Damansara. Korbankan saje RM150 (apalah yg ada pada nilai wang tersebut berbanding kesihatan anak tersayang) Madu diberi hampir 2 minggu, ubat klinik diberhentikan terus kerana tiada hasil positif sekalipun diberikan antibiotik.

Setiap hari aku melihat perkembangan hidungnya, tapi Abdullah tak pernah pula demam sepanjang hidungnya berbau.. Alhamdulillah! Aku dimaklumkan doktor, jika tiada demam maka belum ada sebarang jangkitan atau infeksi yang memudaratkan. Namun, ada ketika baunya kurang, dan ada ketikanya berbau kuat.. dan aku sakit kepala! Suamiku?? Aku katakan seperti tak ada hidung kerana tak pernah pula membicarakan bau tersebut.

Ada suatu hari, tapi masih berlaku dalam bulan syaaban ini.. hidung Abdullah berhingus teruk... berkebetulan pula dengan cuaca yg panas, dan aku jadi PANAS. Abdullah perlu hembus hingus dan mandi! Mulanya enggan tapi akur juga dengan kehendak aku kerana dia sendiri pun tak tahan dengan bau diri sendiri. Abdullah perlu hembus hingus supaya keluar hingus yang busuk tu dan mandi! Aku tutup hidungnya dengan tuala lalu Abdullah hembus. Sikit hingus yang keluar. Aku minta lagi Abdullah hembus sekuat2 hati, Abdullah hembus sekuat2 hati.... YA ALLAH, Abdullah!

SEKETUL SPAN YANG MEMBUSUK KELUAR DARI HIDUNG ABDULLAH...

Dengan keluarnya seketul span tersebut maka berakhirlah riwayat hidung busuk Abdullah. Sekian.

Selasa, 13 Julai 2010

Ada seseorang telah mengajar saya berbohong .... Hanya untuk selamatkan diri sendiri. Tegarnya dia.

Sabtu, 10 Julai 2010

Surah Al-Kautsar

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah
dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu
permata nan indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada
susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w.
kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang
dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t.
makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher,
Insya'allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air
mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan
Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5) Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk
ketika menunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah
s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah
tetapi dizalimi.

(Dipetik daripada emel seorang Hamba Allah)

Jumaat, 9 Julai 2010

Hari Terbuka

Kebiasaan selepas PKSR ada hari terbuka, dan dah namanya pun Hari Terbuka,maka segala pintu hati, mata hati guru pun mesti terbuka. Ada yang anggap Hari Terbuka ni LETIH, tp ada juga yang berasa hari tersebut hari untuk berehat2.
Sebenarnya terpulang pada tanggapan diri sendiri. Mungkin letih kerana periapan sebelum, tapi rehat adalah pada hari kejadian.

Pada saya, Hari Terbuka ni seronok! Dapat jumpa ibu bapa dan tanyakan hal anak2 di rumah. Lebih rasa seronok kalau ibu bapa ucapkan terima kasih kerana anak-anaknya begitu dan begini. Bukan hadiah atau wang ringgit yang dipinta, cukuplah sekadar penghargaan dan ucapan berharga tersebut yang diberikan....

Tapi ada juga ibu bapa yang cerewet (harap2 saya tak begitu...) mahukan anaknya begini dan begitu. Tapi adakala komunikasi yang digunakan tidak begitu berkesan. Kadang2 seperti mengarah, kadang2 seperti mengajar, kadang2 seperti marah. Parent oh parent.. guru pun ada hati dan perasaan.